"Jual koleksi komik, Hot Wheels bantu mangsa banjir Baling"

Petaling Jaya: Bagi menjayakan misinya membantu golongan kurang bernasib baik, Eky Ekmarl sanggup melepaskan koleksi komik dan mainan Hot Wheels kesayangannya untuk dijual kepada yang berminat membelinya.




Bukan setakat itu, Eky, 42, juga tidak malu mengutip tin terbuang dan menjualnya bagi mendapatkan wang tambahan.



Dia lakukannya kerana enggan meminta-minta dan mahu berusaha sendiri mencari dana bagi membeli barangan keperluan untuk disumbangkan kepada penerima walaupun ada juga tampil menghulurkan sumbangan.




Berbekalkan hasil jualan itu dan sumbangan diterima , Eky meneruskan misi menunggang motosikal secara solo bagi membantu mangsa banjir di Kampung Kupang dan Kampung Charok Kapas di Baling, Kedah baru-baru ini.



"Misi itu adalah kesinambungan apa yang saya lakukan ketika sambutan Nuzul Quran lalu.



"Bezanya yang terdahulu saya agihkan al-Quran dan kini kelengkapan diri iaitu kain batik, kain pelikat, tikar, telekung dan lampin pakai buang.



"Saya ke Kampung Kupang dahulu sebelum pulang semula ke Selangor dan bertolak semula ke Baling bagi menyampaikan bantuan untuk 10 keluarga di Kampung Charok Kapas," katanya ketika dihubungi Harian Metro.




Menurut Eky, setiap misi itu mengambil masa 24 jam saja untuk dia pergi dan pulang semula ke Selangor.




Eky mengakui berdepan cabaran sepanjang perjalanannya namun menganggap kesulitan itu datang bagi menguji kecekalannya untuk menyempurnakan misi berkenaan.



"Penat itu bukan cabaran kerana bagi saya, ia perkara biasa cuma kaki agak kejang kerana motosikal penuh dengan barangan ketika kali pertama ke Baling.








"Kali kedua , saya sudah pandai atur perjalanan cuma cabarannya adalah apabila cuaca hujan ketika bertolak ke Baling dan pulang ke Kuala Lumpur selain berdepan kesesakan kerana Aidiladha.



"Menariknya apabila saya disambut baik oleh penduduk malah mereka tak lupa beri saya buah tangan iaitu buah rambutan ketika kali pertama datang dan turut sediakan hidangan tengah hari dan durian sewaktu kedatangan kedua walaupun baru lepas ditimpa musibah," katanya yang pulang ke berkongsi perkembangan misinya di Facebook (Fb).



Menurut Eky, perjalanannya juga dipermudahkan kerana ada sahabat dari Team Solo Riders bantu sokong di pertengahan jalan dan hujung selain mengiringi saya ke Kedah dengan membawa petrol bagi memastikannya dalam keadaan baik serta keselamatan saya.




"Jujurnya, saya tidak dapat banyak dana jadi cari sendiri kerana niat bantu orang susah tanpa menyusahkan orang lain. Alhamdulillah, Allah bersama saya malah menghantar ramai orang baik untuk membantu memudahkan misi saya.




"Sumbangan untuk misi kedua saya di Baling disumbangkan oleh Team Dermawan Syurga Projek Infaq Hari Arafah 2022 dan banyak dapat disumbangkan kepada mangsa.




"Baru-baru ini, saya mencari tayar terpakai asli untuk motosikal Honda ADV150 dan syukur apabila dibantu dua hamba Allah. Itu belum lagi yang salurkan wang ke akaun dan beri duit minyak jadi saya bersyukur sangat kerana ada sana sudi sudi menyumbang.



"Seperkara lagi yang menarik adalah apabila peluang menjayakan misi membolehkan saya melihat keindahan di tempat orang kerana dulu tidak pernah keluar dari Kuala Lumpur dan Selangor," katanya yang masih meneruskan misi sedekah al-Quran ke 14 negeri dengan menyasarkan sekolah tahfiz memerlukan.





Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools