"Kerajaan dijangka umum lebih banyak kelonggaran - KJ"


Putrajaya: Lebih banyak kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang digunapakai sejak negara dilanda Covid-19 dijangka diumumkan dalam minggu-minggu mendatang.



Difahamkan antaranya membabitkan kelonggaran terhadap arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat awam, yang dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 2020.



Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan kejayaan pengurusan Covid-19 dalam negara yang kini menyaksikan jangkitan semakin terkawal selain kemasukan kes ke hospital juga menunjukkan penurunan, Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka mengumumkan sedikit kelonggaran dari semasa ke semasa.



"Dari semasa ke semasa KKM akan mengumumkan sedikit kelonggaran untuk kita kembali hampir seperti normal.



"Tetapi biarlah kita lambat sedikit asal kita selamat," katanya pada Majlis Penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya di sini, hari ini.



Turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.



Terdahulu ketika ditemui pemberita di program berlainan, Khairy yang ditanya mengenai bila kelonggaran akan diberikan membabitkan penggunaan pelitup muka, meminta pihak media untuk menunggu hingga minggu depan.



Pada masa sama, Khairy berkata, kerajaan tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan negara lain selepas kes Covid-19 berjaya dikawal.



Beliau berkata, ada negara berkenaan yang mulai melonggarkan peraturan dan SOP sehingga akhirnya kes positif kembali meningkat.



Katanya, ketika ini negara masih lagi dalam fasa peralihan dan semua pihak harus sentiasa mematuhi SOP ditetapkan serta langkah kesihatan awam seperti yang diamalkan sepanjang dua tahun episod Covid-19 di negara ini.



"Ini sangat penting kerana jika kita melihat pengurusan pandemik di negara kita pada hari ini semakin berjaya. Kes terkawal, kemasukan ke hospital dan kematian terus menurun, kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) terus menurun.



Ini memboleh dan meyakinkan kerajaan untuk memberi kelonggaran sehingga kita boleh menjalankan majlis pada hari ini, projek pembinaan dapat diteruskan dan tidak lama lagi boleh menyambut Aidilfitri," katanya.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools