"Pasangan curi gelang RM10,000 dijel enam bulan"


KUALA PILAH – Sepasang kekasih yang mencuri barang kemas dalam kedai emas di Pekan Kuala Pilah, 8 April lalu dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah di sini hari ini.




Tertuduh, Muhammad Efendi Sanusi Gunarto, 24, dan Nur Sabrina Khairul, 22, mengekalkan pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, 18 April lalu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.




Berdasarkan pertuduhan bersama, kedua-duanya pada 8 April lalu kira-kira pukul 3.45 petang di Kedai Emas Pilah, telah mencuri seutas gelang tangan emas jenis Dunhill seberat 36.76 gram milik kedai emas berkenaan.




Kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.




Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sekiranya bagi kesalahan kali kedua, boleh dikenakan tambahan hukuman sebatan.




Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.




Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools