Beliau menjelaskan, teguran yang dibuat itu diterimanya secara baik selain turut berterima kasih kepada Wan Salim yang juga pensyarahnya ketika menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM).
"Saya terima teguran daripada Wan Salim, dia adalah guru saya di USM dahulu. Ia hanya gurauan saya sahaja, sekiranya beliau terasa hati saya minta maaf. Terima kasih atas tegurannya.
"Saya bukan bermaksud menyatakan Pulau Pinang itu tempat judi, tetapi kalau Pulau Pinang tidak mengharamkan premis perjudian, sesiapa yang mahu beli (judi) boleh pergi ke Pulau Pinang sebab di sana ada premis yang beroperasi.
"Di Kedah kita sudah tamatkan semua operasi premis perjudian, mereka tak dapat beroperasi, mereka boleh pergi ke tempat yang ada operasi.
"Itu maksud saya dan bukan hendak menghina Pulau Pinang," katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan, Mufti Pulau Pinang itu menegur Muhammad Sanusi agar lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan serta menjaga imej sebagai pemimpin kerajaan negeri yang dihormati.
Teguran itu dibuat berikutan kenyataan Muhammad Sanusi mengaitkan kegiatan judi dengan Pulau Pinang yang dianggap sebagai sesuatu yang mendukacitakan dan tidak wajar.
Selain itu, Muhammad Sanusi turut berharap, Wan Salim dapat menasihatkan kerajaan Pulau Pinang mengambil langkah sama seperti dibuat Kedah untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya bersedia menghadapi tindakan mahkamah dibuat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian.
Tegasnya, keputusan tidak memperbaharui lesen premis perjudian adalah muktamad dan tiada sebarang rundingan akan dilakukan berkenaan keputusan itu.
"Saya tidak menghalang mana-mana pihak mengambil tindakan yang mereka rasa perlu untuk mempertahankan premis perjudian, saya bersiap sedia kerana tindakan yang diambil kerajaan negeri juga adalah berdasarkan undang-undang.
"Ini bukan isu mengenai kaum Cina, India atau Melayu, tetapi ini adalah keputusan untuk mengharmonikan rakyat di negeri ini," katanya.