Bapa didenda RM4,000 ketuk kaki anak guna telefon bimbit, pukul kepala dengan penyapu


Seorang bapa didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana mengetuk kaki kiri anak perempuannya menggunakan telefon bimbit dan memukul kepalanya dengan penyapu serta memulas tangan kanak-kanak itu sehingga lebam.




Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 39 tahun itu mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap anak perempuannya berusia 10 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Setapak di sini pada 12 tengah hari, 8 Nov lepas.





Mahkamah turut memerintahkan bapa sembilan anak itu menjalani hukuman penjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda.





Ketika ditanya Mahyon mengapa tertuduh bertindak sedemikian, lelaki itu berkata: “Anak saya tak nak belajar, tengok telefon (telefon bimbit) sahaja.”





Mahyon menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan itu kerana ia kesalahan serius.




Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.





Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman penjara terhadap tertuduh kerana sebagai seorang bapa, dia sepatutnya melindungi bukan mencederakan anaknya.





Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dengan alasan telah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.





“Isteri saya sudah meninggalkan saya, jadi saya yang perlu menjaga anak-anak serta ibu bapa saya,” katanya. 





Berdasarkan fakta kes, mangsa telah diketuk di bahagian kaki kirinya dengan telefon bimbit dan dipukul di kepala menggunakan batang penyapu selain dipulas tangan kanannya ke belakang oleh bapanya.




Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami lebam di tangan kanan dan kaki kiri serta kesan lecetan di kepala akibat tindakan tertuduh.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools