Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, anggota berusia 35 tahun itu adalah detektif koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
"Saya mahu betulkan fakta, individu berkenaan bukan pegawai kanan polis tetapi detektif koperal yang bertugas di IPK Selangor.
"Susulan kes ini, kami mengambil tindakan serta-merta dengan memindahkan anggota terbabit dari tugas sebagai detektif kepada tugas pentadbiran sementara siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis Kuala Lumpur.
"Selain siasatan dari segi perlakuan jenayah, siasatan dari segi tatatertib turut dijalankan terhadap anggota terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini, hari ini.
Terdahulu, melaporkan seorang penjawat awam bertindak memukul seorang wanita di dalam lif di Jalan 2 Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, akibat berang gagal mencari calon jodoh di sebuah laman sesawang, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar dipetik berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila suspek pergi ke pejabat wanita yang juga pegawai khidmat pelanggan syarikat penyedia platform mencari jodoh itu sebelum berlaku perselisihan faham.
Beliau dilapor berkata, siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek dan wanita berusia 34 tahun itu kerana dia sudah membayar RM 2,500 kepada mangsa untuk mencari calon jodoh di laman sesawang berkenaan namun tiada calon jodoh ditemui dalam masa enam bulan.