Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.04 petang.
"Seramai 12 anggota serta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dan BBP Setapak dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, berlaku kebakaran membabitkan empat kereta iaitu Proton Persona, Mercedes, Perodua Kancil dan Nissan Almera yang diletakkan di bawah khemah kawasan parkir di blok berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kebakaran itu menyebabkan dua kereta iaitu Proton Persona dan Mercedes 100 peratus terbakar.
"Sebuah lagi kereta iaitu Perodua Kancil pula terbakar 60 peratus, manakala kereta Nissan Almera terbakar 30 peratus.
"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.