PETALING JAYA – Demi membuktikan dirinya bukan ‘tin kosong’, usahawan Iqbal Zulkefli menyatakan keseriusannya terjun dalam bidang nyanyian dengan melancarkan single pertamanya berjudul Hujan.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Iqbal, 27, berkongsi sedikit sebanyak kerja-kerja pembikinan single tersebut termasuklah membabitkan produksi dan kos penggambaran.
Menurut usahawan berasal dari Kelantan itu, dia menggunakan khidmat jurugambar dan pereka grafik yang terbaik untuk menghasilkan poster lagu Hujan.
“Poster lagu ini berkonsepkan filem antarabangsa. Jurugambar dan pereka grafik ini pernah berkarya untuk produk antarabangsa. Tali yang mengikat tangan dan kaki saya disunting (manipulasi) seperti boneka.
“Kos penggambaran dan grafik kesemuanya termasuk gambar-gambar lain bersamaan sebuah kereta Honda Civid saya yang ramai hina. Ini bukan tentang berapa banyak wang yang saya ada.
“Ini tentang betapa serius saya dalam melakukan sesuatu. Saya bukan orang yang berbual kosong. Percayalah, saya tidak akan rosakkan industri muzik tanah air,” katanya.
Dalam hantaran yang dimuat naik semalam, Iqbal berkongsi sedutan video muzik rasmi lagu Hujan berdurasi 17 saat memaparkan dia berada dalam hujan lebat sambil mengangkat kotak berisi barangan.
Situasi tersebut merupakan simbolik keadaan dirinya yang pernah dihalau ketika sedang hujan lebat suatu ketika dahulu.
Lagu Hujan mendapat sentuhan komposer penyanyi Oja dan dua orang anggota Floor88 iaitu Zai Hamzah dan Achoi sementara lirik daripada Iqbal sendiri serta Zai dan Achoi.
Sementara itu, video muzik Hujan pula diarahkan oleh Eric Fuzi Floor88 dan diterbitkan oleh Rusa Music.
Menurut Iqbal, penggambaran video muzik lagu tersebut yang akan dilancarkan esok pada pukul 5 petang menerusi YouTube Rusa Music dilakukan dalam tempoh 24 jam tanpa henti.
“Eric buli saya dengan macam-macam babak. Penggambaran 24 jam tanpa henti tetapi dalam video muzik rasmi keluar lima hingga 10 saat sahaja setiap babak. Babak hujan ini dirakam pukul 1 pagi sama seperti kejadian sebenar,” katanya