Pontian: Seorang pemandu e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, terhadap dua pertuduhan mengugut seorang peminjam serta membantu kegiatan syarikat pinjaman wang tidak berlesen, pada September dan Isnin lalu.
Tertuduh, Mohd Fakhrul Faiz Mohamad Noh, 32, membuat pengakuan berkenaan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Fakhrul Faiz, bersama-sama seorang rakannya, Ridzwan Idhman Abdullah, 26, yang turut mengaku bersalah, didakwa menyimpan cat merah dan nota ugutan terhadap seorang peminjam sebuah wang syarikat tidak berlesen serta menjalankan aktiviti membantu pemberi pinjaman wang tidak berlesen.
Kesalahan itu dilakukan mereka di sebuah rumah peminjam di Taman Bayu Puteri, Johor Bahru, pada 25 Oktober lalu.
Mohd Fakhrul Faiz, turut mengaku bersalah atas satu lagi kesalahan iaitu membantu pemberi pinjaman wang tidak berlesen, September lalu.
Mengikut pertuduhan berkenaan, dia didakwa menjalankan aktiviti membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah dengan membuat kutipan dan memberi akaun miliknya bagi urusan pembayaran pinjaman wang tidak berlesen seorang peminjam.
Mohd Fakhrul Faiz dan sahabat baiknya, Ridzwan Idhman, didakwa mengikut Seksyen 29 AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2010, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Patricia Shyedlyn Jari manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Kebangsaan, Nur Shuhadah Mahzan.
Terdahulu, Pengawai Pendakwa menawarkan jaminan RM10,000 setiap tertuduh atas setiap pertuduhan.
Namun, peguam memohon supaya jaminan dikurangkan kedua-dua tertuduh mempunyai pendapatan yang rendah.
"Tertuduh Mohd Fakhrul Faiz yang juga pemandu e-hailing mempunyai pendapatan tidak tetap dan perlu menanggung isterinya yang hamil, selain ibu bapa yang ada penyakit tiroid dan jantung manakala Ridzwan Idhman, yang bekerja kilang masih bujang dengan pendapatan RM1,200," katanya.
Majistret kemudian memerintahkan Mohd Fakhrul Faiz dijamin RM6,000 dengan dua penjamin manakala rakannya Ridzwan Idhman diperintah dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 15 November depan bagi prosiding jatuh hukum di Mahkamah Majistret Kulai.