Warga emas meninggal dunia diserang strok ketika memandu







Kota Bharu: Wanita warga emas maut dalam kemalangan selepas dipercayai diserang strok sebelum tertekan pedal minyak dan melanggar dua kenderaan.




Kejadian berlaku pada 1.40 tengah hari semalam di persimpangan lampu isyarat Cherang, di sini, membabitkan kereta jenis Proton Persona yang dipandu Rakiah@Zainun Jusoh, 72, yang merempuh van dan sebuah lagi kereta.




Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika sedang menunggu lampu hijau, kereta dipandu mangsa yang datang dari arah belakang laluan secara tiba-tiba melanggar bahagian belakang dua kenderaan terbabit.




"Mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian dada," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.




Abdul Rahim berkata, mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk proses bedah siasat manakala pemandu van dan Toyota Vios tidak mengalami kecederaan.




Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.




Sementara itu, anak mangsa, Siti Zubaidah Shafii, 35, berkata, ibunya yang tinggal di Padang Tembak, di sini dalam perjalanan menjemput abangnya di sebuah bengkel membaiki kereta tidak jauh dari rumah mereka.




Siti Zubaidah berkata, menurut saksi yang ada ketika kejadian, dia dimaklumkan kaki ibunya berada dalam keadaan kejang dan sedang menekan pedal minyak.




"Dua tahun lalu ibu diserang strok ringan namun keadaannya tidak serius dan semakin pulih malah kami sembilan beradik juga tidak begitu menggalakkan ibu untuk memandu kereta.



"Ibu yang tinggal bersama abang hanya memandu ke kawasan dekat sahaja malah pemanduannya juga tidak pernah melebihi 50 kilometer sejam dan kami menafikan tohmahan warganet yang menuduh ibu memandu laju," katanya.




Siti Zubaidah berkata, kereta yang dipandu ibunya itu juga baharu seminggu digunakan dan ia adalah hadiah daripada abang dan kakaknya sebagai menggantikan kereta arwah yang sering rosak.




Menurutnya, ibunya tidak menunjukkan sebarang perubahan malah ceria ketika kakaknya membuat panggilan video pagi tadi dan sangat terperanjat sebaik diberitahu ahli keluarga mengenai tragedi yang menimpa mangsa.




"Saya menetap di Melaka dan baru minggu lepas pulang ke kampung berjumpa ibu sebelum kakak yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan pula pulang.




"Kami tidak menyangka ibu akan pergi dengan cara sebegitu tapi kami reda dengan takdir ini," katanya sambil memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23, Machang, pagi esok.





Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools