Sejak semalam hangat diperkatakan apabila pembida aset milik Mohammad Sajjad Kamaruz Zaman bernama Mohammaf Syazwan Ahmad Fiesol gagal membuat pembayaran sebanyak RM132,000.
Susulan itu, netizen pantas membuat carian nama lelaki berkenaan dan mendapati profil media sosialnya tertulis kerjaya sebagai pembantu peribadi kepada jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri.
BACA: Pembida Hilangkan Diri, Peguam Syak Ada Komplot
Menjelaskan mengenai isu tular itu, Aliff berkata sesiapa pun ada hak untuk membida meskipun individu tersebut merupakan pembantu peribadinya.
“Tolong jangan libatkan saya! Semua orang berhak untuk membida, saya tiada kena mengena dengan isu ini. Biarpun dia bekerja sebagai pembantu peribadi saya, namun itu haknya untuk membeli”
“Sekiranya dia (individu terbabit) ingin membeli, itu berada di luar bidang kuasa saya. Memang dia bekerja untuk saya, namun dia mempunyai hak untuk membuat pilihan membeli dan sebagainya,” katanya.
Kata Aliff lagi, kesemua barangan di rumah Sajat itu adalah brangan miliknya jadi mustahil untuk dia membelinya.
“Kebanyakan barang-barang di dalam rumah Sajat itu adalah barang saya, jadi untuk apa saya hendak membelinya. Jika diikutkan hiasan dalam rumah saya pun sudah cukup banyak.
“Mungkin ada yang mengaitkan saya kerana pada pagi semalam saya menitipkan kata-kata semangat buatnya. Takkan itu pun salah?. Kadangkala rakyat Malaysia gemar memperbesarkan perkara kecil,” katanya.