Walaupun pernah melepaskan pekerjaan bergaji lumayan agar dekat dengan ibunya, kehidupan Mohd Amiruddin Ahmad Moktar, 35, tidak pernah teruji bahkan lebih berkat apabila dia kini mampu memperoleh pendapatan lumayan serta mampu membahagiakan ibunya, Latipah Ahmad, 66.
Katanya, dorongan utama adalah doa dan restu ibu, maka disebabkan itu dia tidak menyesal melepaskan jawatan sebagai jurutera kepada pekerjaan yang mempunyai masa lebih fleksibel iaitu bidang takaful.
Graduan kejuruteraan mekanikal daripada universiti di Jepun itu tular di media sosial apabila berkongsi kejayaan hidup berkat menjaga ibunya serta kerap meraikan wanita itu, termasuk membawanya melancong.
Baru-baru ini dia membawa ibunya menginap di tiga hotel mewah dengan layanan VIP ketika bercuti di Langkawi.
"Saya belajar di Jepun selama lima tahun sejak 2006 dan selepas itu bekerja di sebuah kilang di Kulim pada April 2011, namun bapa (Ahmad Moktar Ismail) meninggal dunia tujuh bulan selepas itu dan saya pula mendapat tawaran sebagai jurutera syarikat lain dengan gaji lebih lumayan di Cyberjaya, dua tahun kemudian.
"Hati jadi tidak tenang apabila mengenangkan ibu di Kampung Haji Bunga, Pendang. Walau tahu adik beradik lain menjaga ibu yang hanya bergerak dengan kerusi roda, tapi saya mahu dekat dengan dia.
"Saya nekad berhenti kerja pada 2015 kerana mengenangkan keadaan ibu walaupun mendapat tentangan daripada adik beradik dan ibu sendiri," katanya yang mempunyai kakak dan dua abang yang masing-masing memiliki kedai komputer di Pendang serta pegawai bank.
Anak bongsu itu berkata, dia sememangnya rapat dengan arwah ayah dan ibunya, malah setiap minggu akan pulang ke kampung untuk menziarahi mereka ketika bekerja di Kulim dan setiap dua minggu sekali ketika berkhidmat di Cyberjaya.
"Saya yakinkan keluarga bahawa keputusan berhenti kerja supaya saya mempunyai masa lebih fleksibel dan ibu akhirnya merestuinya. Kini saya bergelar ejen takaful di Kuala Lumpur dan turut membawa ibu tinggal bersama saya selepas ibu terjatuh di rumah pada Mac 2020 yang menyebabkan tulang pinggul dia retak," katanya.
Bagi keselesaan ibunya, dia mengubahsuai rumah agar memudahkan pergerakan wanita itu menggunakan kerusi roda dan adik beradiknya terutama kakak kerap mengunjungi mereka untuk membantu menguruskan Latipah.
Mohd Amiruddin yang mesra disapa Amir juga memberitahu dia terpaksa menjual kereta 'sport' dua pintu dan membeli kereta yang lebih sesuai untuk membawa ibunya apabila mereka keluar bersama.
"Sebelum ini sudah dua kali saya membawa ibu menunaikan umrah, selain kami juga kerap melancong bersama kerana dengan cara ini saya rasa dapat membahagiakan ibu.
"Bagi saya, apa saja kerja yang kita lakukan, restu seorang ibu sangat penting dan saya percaya rezeki yang diperoleh hari ini juga adalah berkat daripada doa dan restu insan yang paling saya sayangi ini," katanya.
Ditanya soal jodoh, pemuda itu mengaku lebih cerewet dalam soal memilih pasangan hidup kerana mahukan wanita yang dapat menyayanginya dan menambat hati ibunya juga.
"Buat masa ini, saya selesa dengan kehidupan bersama ibu kerana dapat memberi lebih tumpuan kepadanya walaupun sibuk bekerja.
"Bagi saya, wang boleh dicari namun membahagiakan ibu tercinta sementara dia masih ada adalah sesuatu yang amat berharga dan tidak ternilai," katanya.