Kuala Langat: Seorang warga emas maut dalam kemalangan langgar lari ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kilometer 35.5 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, warga emas lelaki berusia 70 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y10SS2 dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan terbabit dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Banting menghala ke rumahnya di Kelanang.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar pembahagi jalan segi tiga selekoh (arah Sungai Lang) lalu jatuh di lorong sebelah kiri Jalan Banting menghala ke Morib.

"Mangsa kemudian digilis di bahagian kepala oleh lori," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Ahmad Ridhwan berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Menurut saksi yang melihat kemalangan itu, mangsa melanggar pembahagi jalan yang berada di kiri jalan sebelum terjatuh di permukaan jalan di lorong kiri kemudian digilis sebuah lori.

"Saksi bagaimanapun tidak sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan terbabit kerana selepas kejadian ia tidak berhenti dan hanya meneruskan perjalanan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Banting untuk tujuan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini selepas mendapat keputusan Ujian PCR Covid-19," katanya.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian (017-3012621 atau 03-31872222).