Alor Setar: "Kami sekeluarga tak putus berdoa supaya pak cik ditemui selamat walaupun sampai sekarang tiada maklumat mengenainya," kata Khairani Zainor, 43.

Menurutnya, mereka mengesyaki bapa saudaranya, Mohd Nazri Musa, 50, terjatuh ke sungai kerana barangan peribadi miliknya seperti dompet, telefon bimbit dan motosikal masih ada di tepi Sungai Alor Rela, Jalan Titi Idris, Langgar di sini.

Katanya, Mohd Nazri dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Pokok Asam, Langgar bersama rakannya untuk menangkap ikan pada 10 pagi hari ini.

Berdasarkan maklumat rakan bapa saudaranya itu, Khairani berkata, mangsa dipercayai membuat tangkul ikan di sungai berkenaan sambil membersihkan kawasan itu.

"Sebelum itu, rakannya mengajak dia beredar dari situ sebelum solat Jumaat tetapi dia enggan dan berada di situ seorang diri.

"Selepas beberapa jam kemudian, rakannya kembali semula ke sungai dan mendapati dia di situ tetapi motosikal, dompet dan telefon bimbitnya ada," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga menyedari kehilangannya pada 4.23 petang selepas dia tidak pulang ke rumah dan kerana bimbangkan keselamatannya mereka membuat laporan polis pada petang hari ini.

Katanya, mereka hanya mengesyaki mangsa terjatuh ke dalam sungai itu dan berharap dia ditemui selamat.

"Sampai sekarang, kami langsung tak ada maklumat mengenainya dan pihak bomba datang ke sini untuk melakukan pencarian.

"Kami semua bimbangkan keadaannya terutama isteri dan dua anaknya berusia 18 dan 23 tahun kerana sampai sekarang langsung tak dapat khabar berita mengenainya," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.28 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu.

"Setakat ini, operasi pencarian masih dilakukan di lokasi berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.