Menceritakan kejadian pada 12.30 tengah hari itu, Abdul Hafiz Abdul Hamid, 40, berkata, dia bersama enam rakan pemancing dan tekong bot baru sahaja tiba di lokasi yang digelar 'Kapal Taiping' .
Menurutnya, belum sempat tekong melabuhkan sauh, tiba-tiba keadaan laut mula bergelora dengan ombak setinggi lebih tiga meter.
"Menyedari keadaan cuaca yang buruk, tekong cuba mengemudi bot ke arah kapal nelayan berhampiran untuk berlindung namun ketika hampir dengan bot itu, secara tiba-tiba ombak besar datang dan menyebabkan bot kami terbalik.
"Pada waktu itu saya dan lima rakan tercampak ke laut, manakala tekong dan seorang rakan sempat melompat ke bot nelayan berhampiran," katanya.
Menurutnya, dia dan rakan berada dalam laut lebih setengah sebelum diselamatkan nelayan.
"Kami sudah berasa lemah ketika itu berikutan keadaan laut yang bergelora dan pelbagai perasaan mula muncul termasuklah memikirkan isteri yang sedang mengandung anak keempat.
"Alhamdulillah kami semua berjaya diselamatkan nelayan dan dibawa ke Jeti Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau.
"Terima kasih kepada nelayan, APMM dan Pasukan Polis Marin (PPM) yang membantu kami," katanya.
Menurut Abdul Hafiz lagi, dia yang merupakan seorang Penolong Jurutera Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang kini trauma dengan kejadian yang hampir meragut nyawanya dan akan berehat sementara untuk aktiviti memancing.
"Sudah berpuluh tahun berpengalaman memancing dan ini kejadian yang pertama dan terburuk berlaku," katanya.
Seorang lagi pemancing, Mohd Fakrullah Ahmad, 30, berkata, mereka menaiki bot itu pada 10 pagi di Changkat, Nibong Tebal di Pulau Pinang dan bercadang untuk memancing di situ selama dua hari.
Menurutnya, segala peralatan memancing bernilai puluhan ribu ringgit serta pelbagai dokumen penting termasuk kad pengenalan hilang di laut.
Sementara itu, Pengarah Zon APMM Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 2.40 petang dan segera bergegas ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pihaknya membuat pemeriksaan awal terhadap kesemua pemancing yang diselamatkan komuniti nelayan bagi memastikan keadaan mereka semua selamat sebelum dipindahkan ke bot APMM dan PPM.
"Kesemua mereka dibawa ke Jeti Pengkalan APMM dan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada waris masing-masing.
"APMM menasihatkan nelayan dan pemancing agar lebih berhati-hati ketika berada di laut ditambah pula dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
"Ini merupakan kes ke-10 dilaporkan sepanjang tahun ini, enam daripadanya disahkan lemas, tiga tidak dijumpai manakala kes terbaru ini kesemuanya berjaya diselamatkan, " katanya.