Pulang selepas 96 jam bersembunyi dalam hutan

Muadzam Shah: Lelaki Orang Asli bersembunyi di dalam hutan selama empat hari kerana konflik rumah tangga, akhirnya pulang ke rumah kakaknya, malam tadi, berikutan terlalu lapar.

Pemuda terbabit, Zali Yasa, 19, meninggalkan motosikalnya di tepi jalan dan melarikan diri masuk ke dalam hutan di Kampung Kundang, di sini.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Tok Batin Kampung Kundang, Wahid Abdullah menyatakan pemuda itu datang ke rumah kakaknya yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan hutan, malam tadi.

Menurutnya, lelaki itu bertindak demikian kerana terlalu lapar dan dahaga selepas lebih 96 jam bersembunyi dalam hutan, selain kesejukan berikutan hujan lebat dan angin kencang petang semalam.

"Saya bertemu dengan keluarga pemuda berkenaan bagi mendapatkan cerita sebenar kenapa dia (Zali) melarikan diri ke dalam hutan hingga mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

"Selain konflik rumah tangga yang berlarutan, sifat pemuda berkenaan yang mudah merajuk menjadi faktor dia bertindak nekad bersembunyi dalam hutan," katanya, di sini, hari ini.

Beliau mengarahkan batin dan keluarga kedua belah pihak supaya berusaha membantu menyelesaikan konflik rumah tangga Zali dan isterinya, bagi memastikan tidak berlaku lagi perkara tidak diingini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih pada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Unit K9 JBPM yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, pihaknya memutuskan menamatkan SAR mencari orang hilang di Kampung Kundang itu.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools