Pengorbanan ibu cetus semangat remaja OKU

Kulim: Dilahirkan tidak sempurna seperti insan lain, namun itu bukan penghalang buat Muhammad Nur Faris Ghazali, 16, yang mempunyai keazaman dan kegigihan untuk mencapai impian dalam hidupnya hingga berjaya merangkul satu pingat emas dan satu perak ketika beraksi dalam acara renang di Para Sukma XIX Perak 2018 lalu.

Remaja orang kurang upaya (OKU) itu berjaya meraih pingat emas dalam kategori 50 meter (m) kuak dada, manakala perak pula melalui 200m gaya bebas.

Kejayaan dikecapinya itu bukan datang bergolek kerana dia yang mesra dipanggil Faris dalam kalangan keluarga serta rakan-rakan banyak berkorban masa, tenaga selain tabah dan berdisiplin demi memastikan impiannya tercapai.

Enggan menoleh ke belakang, dia turut berazam dan menanam cita-cita untuk beraksi mewakili negara dalam acara renang di Paralimpik suatu hari nanti.

Di sebalik kejayaan remaja istimewa terbabit yang juga pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Junjung di sini, tiada siapa tahu betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan ibunya, Khalijah Ismail, 51.

Menurutnya, dia dimaklumkan doktor pakar yang peluang anaknya untuk hidup 50-50 di awal kelahirannya pada 2005 berikutan pelbagai komplikasi dialami dan memintanya berdoa serta bertawakal.

"Ketika itu doktor memberitahu yang anaknya itu mempunyai masalah jantung, hati, buah pinggang dan juga otak dengan berat badannya daripada 2.6 kilogram (kg) susut hingga 1.3kg dalam tempoh dua minggu.

"Bila melihat kakinya pula, saya terus berfikir bagaimana dan apa yang akan jadi kepada anak untuk menempuh hari-hari yang mendatang ," kataya yang turut berterima kasih kepada suami, Ghazali Saad, 52, atas pengorbanan dilakukan sepanjang membesarkan anak mereka itu.

Menurutnya, selepas dua minggu ditahan di wad dengan kuasa Allah SWT, doa serta rawatan daripada doktor anaknya beransur pulih dan sepanjang tempoh itu dia terpaksa berulang-alik menghantar susu seorang diri dalam keadaan dirinya yang masih berpantang kerana suami, keluar bekerja sebagai pemandu lori kontena.

Selain ibunya, kejayaan dikecapi Faris juga disebabkan jurulatih renang yang secara kebetulan mengesan bakat remaja itu ketika berada di Kompleks Sukan dan Kolam Renang Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Faris yang ketika itu berusia 11 tahun bersama kira-kira 30 pelajar OKU dibawa guru pendidikan khas Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Yusfarahana Yusuf untuk aktiviti kokurikulum bagi mencungkil bakat dalam kalangan pelajar istimewanya.

Bermula daripada hari itu, jurulatih renang terbabit melihat keistimewaan Faris dan dia terus menyatakan hasrat menawarkan diri melatih remaja berkenaan secara percuma dalam tempoh dua bulan untuk menjalani latihan bersamanya dengan syarat perlu hadir setiap hari tanpa gagal.

Kerana ingin melihat anaknya berjaya, Khalijah sanggup berulang-alik sejauh 20 kilometer empat kali sehari selama dua bulan untuk menghantar Faris yang ketika itu menjalani dua sesi latihan iaitu pagi dan petang dengan setiap sesi berlangsung selama tiga jam.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools