Ibu bapa sambut baik vaksinasi anak sebagai persiapan ke asrama, sekolah

Kepala Batas: Ibu bapa sekitar daerah Seberang Perai Utara menyambut baik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja sebagai persiapan menghantar anak-anak mereka ke asrama tidak lama lagi.

Tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium di sini, rata-rata ibu bapa meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan dengan meluluskan program pemberian vaksin kepada golongan remaja berusia bawah 18 tahun.

Ia sekali gus membolehkan anak-anak mereka yang belajar di sekolah berasrama penuh (SBP) dapat membuat persiapan awal untuk kembali semula ke asrama dan belajar seperti biasa dalam keadaan lebih selamat.

Seorang guru, Fatmawati Yacob,47, berkata hampir setiap hari dia memeriksa aplikasi MySejahtera untuk mengetahui status dua anaknya, Muhammad Nur Naqiuddin Khairul Fauzi,16 dan Muhammad Nur Mu'izzuddin Khairul Fauzi,17.

"Kedua-dua anak saya bersekolah di Sekolah Menengah Sains Kepala Batas dan mereka tinggal di asrama sekolah berkenaan.

"Saya memang mahu mereka menerima suntikan vaksin Covid-19. Syukur kedua-duanya tidak membantah bahkan tidak sabar kerana mahu kembali ke asrama dan bersekolah seperti biasa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Nur Naqiuddin berkata, dia tidak gentar untuk mengambil suntikan vaksin memandangkan melalui pembacaannya ia lebih banyak kebaikan berbanding keburukan.

"Tidak dinafikan terlalu banyak sangat maklumat negatif berkaitan vaksin yang saya temui namun melalui pembacaan saya serta perkongsian ilmiah dari doktor bertauliah di laman sosial sebenarnya vaksin ini lebih banyak kebaikan.

"Jadi buat apa saya perlu takut dan mahu cepat-cepat bawa negara keluar dari penyakit ini dengan segera kerana mahu hidup seperti biasa," katanya.

Bagi Adawiyah Mustaffa, 41 dia membawa anak perempuannya, Aina Wafa Abdul Karim,16 mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk menyahut seruan kerajaan.

"Sebagai penjawat awam sudah tentunya saya berada dalam haluan sama dengan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan hasrat kerajaan bagi membebaskan negara dari Covid-19.

"Anak saya pula memang hendak divaksin kerana mahu pulang belajar ke asrama dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan. Jadi sebagai ibu sudah tentu saya ingin pastikan anak saya selamat serta terhindar dari wabak penyakit dengan mengambil vaksin," katanya.

Sementara itu, Aina Wafa berkata, dia sudah banyak ketinggalan dari segi pelajaran berikutan sudah lama tidak ke sekolah dan tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Oleh itu, saya nak cepat masuk ke sekolah dan ambil vaksin demi mencipta persekitaran yang selamat sekali gus bebas dari virus," katanya.

Difahamkan, lebih 70 pelajar asrama berusia 16 dan 17 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV berkenaan selepas mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa PICK remaja dimulakan hari ini membabitkan pelajar sekolah berusia 16 dan 17 tahun yang tinggal di asrama.

Bagi pelajar tanpa komorbid (bukan tinggal di asrama) suntikan akan diberikan esok di enam PPV yang tersenarai manakala bagi pelajar dengan komorbid suntikan akan diberikan di hospital-hospital terdekat.

#kw PICK, remaja, Pulau Pinang, vaksinasi, anak, asrama, sekolah, Kepala Batas




Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools