Haram mak nyah masuk masjid dalam kecelaruan jantina – Mufti Perlis


Kangar: Golongan mukhannath atau lebih dikenali dengan panggilan mak nyah atau 'transgender' diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-53/ 2021 pada 23 dan 24 Jun lalu, golongan ini sengaja menyerupai jantina berbeza dan termasuk dalam golongan fasik.

"Oleh hal demikian, mereka diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.

"Solat jemaah golongan mak nyah ini hendaklah berdasarkan jantinanya sebenar dan dilarang mengerjakan haji dan umrah jika penampilan mereka boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah haji dan umrah lain," katanya dalam satu kenyataan yang dimuatkan dalam Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis, hari ini.

Beliau berkata, tasyabbuh adalah perbuatan lelaki atau wanita dengan sengaja meniru jantina berbeza daripada segi pertuturan, tingkah laku, perbuatan atau berpakaian tanpa mempunyai keperluan dibenarkan syarak seperti pendidikan, penyaksian atau pemberian keterangan dan seumpamanya.

Menurutnya, hukum tasyabbuh adalah haram kerana termasuk di dalam dosa besar yang dilaknat Allah SWT seperti dalam hadis Nabi SAW daripada Ibn Abbas r.a iaitu Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan orang wanita yang menyerupai lelaki. (HR al-Bukhari).

"Maka, jika penyerupaan itu tidak disengajakan seperti sifat lembut ada pada lelaki sejak asal bukan sengaja dibuat-buat adalah tidak dinamakan dengan tasyabbuh apabila golongan ini pula dipanggil 'mukhannath khalqi' iaitu seorang yang mempunyai sifat keperempuanan tidak disengajakan.

"Ini sama seperti wanita yang mempunyai sifat lelaki sejak asal seperti suara garau dan mereka ini dimaafkan selagi mana ia bukan disengajakan," katanya.

Beliau berkata, berbalik kepada perkara utama dibincangkan, terdapat beberapa hukum perlu diberikan perhatian dalam mendepani golongan ini apabila haram hukumnya seseorang berkhalwat dengan golongan mak nyah ini sekalipun dari jantina sama kerana boleh menimbulkan fitnah atau mencemarkan nama baik seseorang.

Menurutnya, jika tidak menimbulkan fitnah maka hukumnya sama seperti seseorang berkhalwat dengan jantina sama.

Katanya, mereka turut dilarang mengerjakan haji dan umrah jika penampilan boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah haji dan umrah dan sekiranya mereka meninggal dunia, jenazah golongan itu diuruskan berdasarkan jantina sebenar.

"Pihak pengurusan jenazah perlu memilih mereka yang sesuai untuk mengendalikan jenazah bagi mengelakkan fitnah.

"Demikian hal lelaki atau wanita memiliki perasaan seks kepada golongan sejenis tanpa sengaja, namun tidak melakukan apa-apa perbuatan yang mencanggahi syarak adalah dimaafkan bahkan jika dia bersabar menahan dirinya daripada melakukan perbuatan haram, dia mendapat pahala besar.

"Selain itu, lelaki daripada golongan ini boleh menjadi wali dengan syarat ketika proses perwalian dia tampil dengan perwatakan lelaki," katanya.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools