Serah Sajat kepada mahkamah sebaik dibawa pulang - Jais

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menyerahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat kepada mahkamah sebaik diserahkan oleh polis.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, dengan penahanan itu, usahawan kontroversi berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan susulan ia tertangguh selepas Nur Sajat melarikan diri.

Katanya, pihaknya menunggu untuk menyerahkan Nur Sajat kepada mahkamah dan hakim akan menetapkan tarikh perbicaraan yang baharu.

"Jais menunggu untuk menyerahkan Nur Sajat kepada mahkamah dan selepas itu terserah kepada hakim untuk membuat keputusan mengenai kesnya.

"Pihak kita hanya akan dirujuk kerana lebih tahu mengenai prosedur Mahkamah Syariah," katanya ketika dihubungi.

Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Perbicaraan itu membabitkan kes Nur Sajat dituduh berkelakuan dan berpakaian menyerupai wanita pada 2018 di Shah Alam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Harian Metro semalam melaporkan, misteri 'kehilangan' usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Untuk rekod, Nur Sajat, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen jam 6 petang (waktu Thailand).

Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Usahawan kosmetik itu bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shahzihan berkata, pihaknya berharap akan terus bekerjasama dengan polis bagi membanteras kegiatan menyalahi peraturan sedia ada.

"Kita harap waran tangkap juga boleh dikeluarkan penguatkuasa agama dan juga Ketua Polis Negara. Sekarang, waran tangkap kita hanya boleh digunakan di Selangor, di luar Selangor tak boleh tangkap.

"Sekarang kita bekerjasama dengan polis dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk melaksanakan waran tangkap selari dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menangani isu-isu seperti ini," katanya.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools