Kuala Lumpur: Kenaikan harga barangan di negara ini tidak berkait dengan unsur kartel, sebaliknya disebabkan faktor ketidakcekapan urusan rantaian bekalan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, dapatan itu adalah hasil kajian semula pasaran sektor makanan dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang memfokuskan kepada beberapa barangan.
"Contoh ketidakcekapan ialah barangan seperti sayuran dari Cameron Highlands yang ingin dijual di Tapah, Perak, terpaksa dibawa ke Kuala Lumpur dahulu sebelum dibawa semula ke Tapah untuk dijual.
"Tiada kartel yang menjadikan harga barang meningkat, tetapi kerana faktor orang tengah," katanya.
Menurutnya, masyarakat disaran untuk menjadi pengguna pintar dengan merancang pembelian terbaik, mengetahui hak serta pelaksanaannya.
"Ia bagi memastikan mereka tidak terbeban dengan sebarang kenaikan harga barangan di pasaran termasuklah barangan makanan seperti ayam dan lain-lain," katanya.
Katanya, penentuan harga barangan adalah bergantung kepada faktor permintaan dan penawaran, namun menjadi tanggungjawab kementeriannya untuk memastikan harga barangan keperluan asas tidak membebankan pengguna.
"Kementerian ini melaksanakan pemantauan bukan saja membabitkan peringkat dalam rantaian pengedaran, malah kecukupan bekalan di pasaran.
"Kita akan ambil tindakan kepada mana-mana pihak yang didapati mengambil keuntungan keterlaluan dan tidak munasabah dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.
Beliau berkata bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barangan terutama penduduk luar bandar dan pedalaman, KPDNHEP melaksanakan inisiatif bersifat cakna rakyat seperti program penyeragaman harga dan pengedaran barangan perlu, gas cecair petroleum (LPG) dan community drumming bagi mengurangkan beban golongan rentan.
Menurutnya, sebanyak 802 kawasan luar bandar terbabit dengan program pengedaran barangan perlu dengan pertambahan 137 kawasan tahun ini.
Antara kawasan baru ialah Pulau Perhentian dan Pulau Redang di Terengganu, serta Pulau Tioman, Kuala Tahan dan Kampung Bantal di Pahang.
"Sehingga kini lebih 1.23 juta penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman menerima manfaat daripada program ini melalui peruntukan RM200 juta, tahun ini," katanya.