29 hilang tempat tinggal

Sibu: Dua puluh sembilan penghuni hilang tempat berteduh selepas tiga kediaman di Jalan Sentosa Salim di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan BBP Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 8.45 malam.

Katanya, sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan tiga unit rumah jenis tidak kekal yang dibina berdekatan itu.

"Pasukan bomba memulakan kerja-kerja memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air terbuka dari parit berdekatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bomba mengambil masa selama dua jam bagi memadam kebakaran sebelum berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.50 malam.

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni sempat lari menyelamatkan diri.

"Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami tiga buah keluarga itu bagaimanapun masih lagi dalam siasatan," katanya.

Katanya, semua mangsa terjejas tinggal sementara di rumah sanak saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan tiba.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools