Hormati kedukaan Azmi hari ini, Caliph Buskers batalkan persembahan

Kuala Lumpur: Kumpulan Caliph Buskers membuat keputusan membatalkan persembahan bersama satu syarikat ternama, bagi menghormati pemergian cahaya mata sulung vokalis mereka, Azmi Saat.

Pemain drumnya, Fendy Adlun dihubungi berkata, Caliph Buskers sepatutnya terbabit dalam rakaman persembahan virtual untuk sebuah syarikat terkemuka, hari ini. 

"Namun dengan dugaan duka menimpa Azmi pada hari ini juga, kami akhirnya buat keputusan membatalkan terus persembahan itu sebagai menghormati kesedihan Azmi dan isterinya.

"Penganjur nak cepat tapi kami perlu faham perasaan Azmi dan isterinya, Nazira Muhammad. Akhirnya kami putuskan untuk batalkan terus persembahan nyanyian itu.

"InsyaAllah, duit esok lusa pun masih boleh cari. Macam saya ditimpa kesusahan pada Julai lalu, Azmi antara yang membantu. Sekarang, dia perlukan sokongan moral, dan kami pula akan bantu yang termampu," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, anak sulung Azmi yang dilahirkan empat hari lalu dinamakan Khairul Afnan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan, di sini, pada jam 1.19 petang. 

Khairul Afnan meninggal dunia di pangkuan pasangan suami isteri itu. Selepas alat bantuan pernafasan dibuka, Azmi dan isterinya diberi peluang untuk meriba anak mereka sehingga menghembuskan nafas terakhir. 

Fendy dan Zaki mewakili Caliph Buskers hadir ke hospital sekitar jam dua petang tadi sebagai tanda sokongan buat rakan mereka itu.

Menurutnya, Azmi ketika ditemui mereka berada dalam keadaan tenang dan boleh bergurau serta berbual seperti biasa. 

"Sebelum ini, Azmi memang teruja sewaktu awal kehamilan isterinya. Kami antara orang terawal yang diberitahu dan dia amat bersyukur kerana mereka pun dah 10 tahun menanti rezeki cahaya mata.

 "Apa-apa saja perkara dia akan 'update' (beritahu) pada rakan dalam Caliph Buskers dulu, sebab kami antara orang terdekat dengannya. Apabila jadi begini, kami pun turut sama berasa sedih.

"Kita tahu penantian 10 tahun bukanlah masa yang singkat. Apapun, saya rasa terharu dan bersyukur ramai peminat memberi kata semangat dan mendoakan 'anak syurganya' itu ," katanya.

   Fendy berkata, mereka menganggap pasti ada rezeki lain yang Allah nak beri kepada Azmi, tetapi belum masa sekarang. Apapun, yang penting Azmi dan isterinya kena kuat hadapi ujian berat ini.





Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools