Warga Bangladesh dipenjara 9 bulan, tipu petugas PPV

Seremban: Warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdayakan petugas pusat pemberian vaksin (PPV) dengan menggunakan pasport milik orang lain bagi mendapatkan vaksin pada 13 September lalu.

Tertuduh, Mizan Nur Rahman, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Menurut pertuduhan, Mizan didapati dengan curang mendorong Muhammad Nur Ikhwan Hamzah memberikan vaksin Covid-19 yang mana petugas tidak akan memberikan tertuduh vaksin sekiranya tidak diperdaya.

Kesalahan dilakukan di PPV Universiti Islam Malaysia (USIM), Nilai, jam 10 pagi, 13 September lalu.

Justeru, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret menjatuhkan hukuman penjara sembilan bermula tarikh ditahan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools