Polis dalam proses bawa pulang Sajat

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses permohonan bagi membawa pulang usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat yang ditahan di Thailand pada 8 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.

Menurutnya, permohonan ini akan dibuat dalam tempoh masa terdekat.

"PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

"PDRM turut menyeru orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat salah berkaitan isu ini yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni dan menggugat ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Isnin lalu, Harian Metro melaporkan misteri 'kehilangan' Nur Sajat terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

Pendedahan eksklusif Harian Metro itu turut mendedahkan bahawa Nur Sajat kini dikenali dengan nama Bella selain memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan pejabat badan itu di Bangkok, Thailand.

Pada 9 September lalu atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan 2,000 dolar Amerika Syarikat (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools