Pengemis Rohingya ludah kereta selepas ditegur mengemis

Kuala Lumpur: Etnik Rohingnya kini dikesan 'mendominasi' lampu isyarat di sekitar Jalan Ampang Ulu dan Jalan Ampang di sini, bagi mengemis di kawasan berkenaan.

Kehadiran pengemis di kawasan itu juga menyebabkan pengguna jalan raya menjadi rimas dengan tindakan mereka yang mengetuk tingkap kereta untuk meminta sedekah.

Tinjauan Harian Metro mendapati ada antara mereka menggunakan modus operandi baru iaitu mendukung anak kecil bagi meraih simpati pengguna jalan raya.

Jurugambar Harian Metro sempat merakam kegiatan mereka yang dikesan bermula pada 9 pagi sehingga petang.

Wartawan cuba mendekati pengemis berkenaan namun mereka bertindak melarikan diri sehingga membahayakan pengguna jalan raya.

Seorang pengguna jalan raya, Badrulhisham Md Arshad, 48, berkata, lokasi itu sering menjadi tumpuan pengemis kerana kawasan yang redup dan kurang tindakan penguatkuasaan.

"Jika kita sebagai penunggang motosikal sangat bahaya kerana mereka berada di jalan raya persimpangan lampu isyarat berkenaan.

"Pernah sekali saya hampir melanggar kanak-kanak Rohingya yang sedang meminta sedekah di sebuah kereta," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, ahli perniagaan, Muhammad Amirul Azlan Shah, 32, berkata, tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya di kawasan itu.

"Jika dahulu peniaga tempatan yang menjual mangga di persimpangan lampu isyarat berkenaan diambil tindakan, kini tindakan serupa perlu diambil.

"Mereka berani kerana tidak ada tindakan diambil, pernah sekali saya menegur kumpulan pengemis ini namun mereka bertindak kurang ajar dengan meludah cermin tingkap kereta saya," katanya.

Menurutnya, kegiatan pengemis itu bukan baru di kawasan berkenaan malah mereka berada di persimpangan itu hampir setiap hari.

"Jika dilihat pada waktu puncak semakin ramai pengemis dipercayai Rohingya di persimpangan lampu isyarat itu.

"Bila petang kumpulan ini makin ramai, ada yang dukung anak, ada yang memimpin tangan anak mereka malah ada juga kumpulan kanak-kanak berkopiah bagi meraih simpati," katanya.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools