Palsu dokumen babitkan TMJ: Dua beranak diburu

Johor Bahru: Polis Johor sedang memburu dua beranak susulan dipercayai berkaitan dengan pemalsuan dokumen membabitkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua lelaki itu dikenali sebagai P Kuganathan, 34, dan M Parameswaran, 64, dengan alamat terakhirnya di 16, Persiaran Jelapang 16, Taman Sibilin, Ipoh, Perak.

"Dua suspek ini kita masih dicari. Alamat terakhirnya di Perak. Kedua-dua suspek ini terbabit dalam kes TMJ. Selain itu, mereka mendakwa pernah bekerja di Istana Johor.

"Suspek dikehendaki untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan penipuan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Sebarang maklumat boleh menghubungi Asisten Superintendan Khairul Saberi Nyan di talian 019-5290 027 atau balai polis berhampiran.

Media sebelum ini melaporkan, polis Johor memburu tiga individu tempatan dipercayai berkait dengan pemalsuan dokumen membabitkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ayob Khan berkata, ia berkaitan penipuan membabitkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengenai satu dokumen 'Letter of Undertaking' pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) kepada ringgit yang dipercayai palsu.

Katanya, dokumen terbabit didapati dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan bergelar Datuk Seri mendakwa mendapat mandat daripada TMJ untuk menjalankan urusan tukaran mata wang asing itu kepada ringgit yang bernilai AS$ 200 bilion sehingga USD 5 trilion.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools