Kuala Lumpur: Pemergian Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing pagi ini begitu dirasai pemimpin-pemimpin di peringkat Persekutuan yang rata-ratanya menzahirkan perasaan sedih atas kehilangan seorang pemimpin yang banyak berjasa.

Antara yang terawal mengucapkan takziah ialah Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyifatkan Sarawak kehilangan seorang pemimpin veteran yang berwibawa, komited dan penuh berpengalaman dan banyak berjasa kepada rakyat Sarawak serta memberi sumbangan besar kepada pembangunan Sarawak.

"Pemergian beliau satu kehilangan besar bukan saja kepada Sarawak, malah kepada Malaysia secara umumnya. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang," katanya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menerusi kenyataan di laman Facebook beliau.

Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Baleh meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching jam 7.05 pagi pada usia 72 tahun.

Sebelum ini, Masing yang juga Presiden PRS dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lalu kerana disahkan positif Covid-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian mendiang ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Timbalannya Datuk Hanifah Hajar Taib yang menyifatkan mendiang banyak berjasa kepada negara khususnya Sarawak.

"Sesungguhnya semua jasa dan bakti telah dicurahkan mendiang akan sentiasa dikenang sepanjang zaman," menurut kenyataan di Facebook Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong pula berkata Sarawak kehilangan seorang pemimpin hebat.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang juga Ahli Parlimen Kapit dalam ciapan Twitter berkata beliau berasa amat sedih mendengar perkhabaran duka itu.

"Ucapan takziah dan doa saya kepada keluarga. Semoga tuhan memberikan kekuatan kepada keluarga mendiang untuk mengharungi waktu sukar ini," katanya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar bagi masyarakat dan negara, malah jasa dan pengorbanannya khususnya di Sarawak pasti dikenang sampai bila-bila.