Ibu hidap pelbagai penyakit tabah usahakan warung untuk tampung hidup

Pasir Puteh: Demi mencari wang belanja untuk kelangsungan hidup selain menampung kos ke hospital, seorang wanita sanggup berulang dari rumahnya di Kampung Kelubi sejauh dua kilometer (km) hampir setiap hari untuk membuka warung yang terletak di Kampung Surau di sini.

Nurul Haslinda Mohamad, 35, berkata, dia yang menghidap barah payudara tahap empat, asma kronik, injap jantung bocor dan masalah buah pinggang tidak pernah menjadikan penyakit itu sebagai alasan untuk berpeluk tubuh malah akan terus bekerja selagi terdaya.

Katanya, suaminya, Mohd Zuki Mohd Razizan, 34, yang bekerja sebagai buruh berpendapatan RM50 sehari namun ia tidak mencukupi memandangkan kerja yang diperoleh juga tidak menentu sejak penularan Covid-19.

"Bagi memulakan perniagaan menjual makanan secara kecil-kecilan sejak lebih sebulan lalu, saya dan suami mengeluarkan modal RM6,000 melalui pengeluaran i-Citra selain wang simpanan untuk membeli peralatan memasak, kerusi dan meja.

"Warung ini disewa pada kadar RM450 sebulan. Kami turut dibantu anak saudara. Kami juga menerima tempahan untuk dihantar dari rumah ke rumah di sekitar Pasir Puteh," katanya ditemui di warungnya.

Menurut Nurul Haslinda, dia menjual beberapa jenis lauk-pauk untuk makan tengah hari.

"Pada masa sama, suami juga menjual sate di warung ini setiap petang selepas dia pulang kerja," katanya.

Nurul Haslinda berkata, dia berharap hasil perniagaan itu dapat meringankan beban untuk menampung kos rawatannya serta dua anak yang turut memerlukan penjagaan rapi.

"Setiap bulan, saya perlu ke berulang ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sebanyak empat kali untuk menghadiri temujanji selain mendapatkan bekalan ubat.

"Selain saya, anak sulung, Rusydan Firdaus Azahan yang berusia 15 tahun dan menghidap masalah jantung tersumbat sejak berusia lapan bulan juga perlu berjumpa doktor pakar di HRPZII sekali setiap enam bulan," katanya.

Pada masa sama, menurut Nurul Haslinda, anak bongsu, Nuraina Mikayla yang berusia dua tahun juga menghidap asma dan masalah saluran air mata tersumbat sejak lahir.

Ia menyebabkan mata kanak-kanak berkenaan bengkak serta berair dan perlu menghadiri temujanji di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dua kali sebulan.

"Setiap bulan, kami membelanjakan hampir RM500 untuk tambang kereta sewa atau teksi untuk ke hospital.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana turut memperoleh bantuan RM250 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools