Feri ke Langkawi ditambah Sabtu ini

ALOR SETAR: Syarikat Ferrylines Ventures Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan lima trip perjalanan ke Langkawi bermula Sabtu ini berikutan sambutan menggalakkan dari pelancong.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom, berkata tiga trip feri dari Terminal Feri Kuala Perlis, manakala dua trip lagi dari Terminal Feri Kuala Kedah.

Beliau berkata, sebelum ini, hanya dua feri disediakan untuk perjalanan dari Kuala Perlis dan satu trip di Kuala Kedah, namun ditambah disebabkan permintaan penumpang.

Katanya, pihaknya menjangkakan 3,000 pelancong akan menggunakan perkhidmatan feri penumpang ke pulau itu Sabtu ini.

"Kita jangkakan penambahan pelancong akan terus berlaku dan akan merancakkan kembali sektor pelancongan ke Pulau Langkawi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Baharin berkata, bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi oleh penumpang dengan wajib memakai pelitup muka serta mematuhi penjarakan fizikal ketika berada di terminal.

Katanya, selain itu semua pelancong yang hendak mengunjungi Langkawi perlu lengkap dua dos suntikan vaksin dan lengkap tempoh matang.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools