Syahrini cari reda ilahi

SIAPA sangka, figura jelita yang cukup dikenali ramai sebagai lambang kemewahan dan seksi kini perlahan-lahan berubah mencari keredaan Ilahi.

Tidak lama dulu, penyanyi Indonesia, Syahrini atau mesra disapa Princess Syahrini sering meraih perhatian netizen apabila beg tangan berjenama mewah, Hermes miliknya yang bernilai ratusan ribu ringgit hanya digunakan sebagai 'bakul' untuk mengisi sayur-sayuran yang dibeli di pasar.

Lebih mengejutkan, jika ke luar negara pula, wanita itu lebih selesa menggunakan pesawat peribadi hanya disebabkan mahu berehat selain ingin mempunyai privasi.

Namun, segala kemewahan yang dimiliki tidak lagi menjadi keutamaan, sebaliknya penyanyi yang memulakan karier sejak 2005 itu cuba mendekati agama sejak Ramadan lalu dan memilih untuk berhijab penuh.

"Kehidupan saya berubah secara total selepas bernikah. Saya ingin menjadi wanita yang mengabdi sahaja.
"Tiada nilai ibadahnya dengan keadaan dunia hari ini atau apa saja yang kita miliki kerana Allah SWT bila-bila masa saja boleh menarik segala nikmat yang diberikan.

"Saya cuma ingin mencari keredaan Allah. Jika Allah beri kemewahan di dunia, saya takut jika di akhirat nanti amalan saya kosong," katanya.

Bagi Syahrini, menginjak usia 39 tahun dia ingin mengejar saham akhirat dengan melakukan amal ibadah sebanyak mungkin dengan suami tercinta.

Bagaimanapun, di sebalik menuju arah kebaikan, Syahrini mengakui perjalanan yang perlu ditempuh tidak berjalan mudah sebaliknya penuh dengan 'godaan' dunia.

"Seiring pertambahan usia, hijrah adalah proses kehidupan seseorang apabila umurnya bertambah. Semakin bertambah usia, semakin kita dekat dengan kematian.

"Bahkan kematian itu sebenarnya boleh tiba pada bila-bila masa tanpa mengira usia.

"Saya bersyukur penghijrahan saya ini mendapat sokongan daripada Reino yang turut sama mengikuti dan sama-sama mengejar saham akhirat. Lagipun usia kami bukan lagi muda," katanya.

Jahil nikmat dunia,Melalui pelbagai pasang surut dalam kehidupan, Syarini mengakui jahil jika mengimbau kembali segala kenangan silamnya.

Bahkan, Syahrini turut menggelar zaman lalunya sebagai 'zaman jahiliah' kerana terlalu asyik dengan nikmat dunia.

"Ketika masih muda dulu, saya seronok memakai pakaian terbuka. Apapun, saya anggap itu adalah sebahagian daripada proses hidup menuju arah yang lebih baik.

"Tapi, zaman itu sudah pun berlalu dan tinggal kenangan. Saya tidak mahu mengingatkannya semula. Sekarang keutamaan saya adalah suami, ibadah dan ingin akhiratnya diperbaiki perlahan-lahan. Semoga istiqamah," katanya.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools