Jawatankuasa khas atasi banjir kilat

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji punca dan mencari penyelesaian terhadap banjir kilat yang sering berlaku sejak kebelakangan ini di beberapa daerah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat itu adalah langkah susulan selepas kejadian banjir kilat pada minggu lalu yang dianggap antara paling buruk pernah berlaku khususnya di daerah Penampang dan bandar raya ini.

Katanya, objektif utama penubuhan jawatankuasa itu bagi menangani isu banjir kilat di Sabah menerusi pemantauan dan penguatkuasaan, selain mengenal pasti punca dan tindakan jangka pendek serta jangka panjang.

"Selain itu, jawatankuasa ini juga akan menyelaraskan tindakan antara agensi menerusi bidang kuasa masing-masing supaya tindakan bersepadu mengatasi isu banjir kilat dapat diambil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penubuhan jawatankuasa itu diputuskan pada mesyuarat khas membincangkan isu banjir kilat yang dipengerusikan Bung Moktar, di sini, semalam.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, jawatankuasa baharu itu dianggotai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah serta agensi lain yang berkaitan.

Katanya, jawatankuasa itu kemudiannya akan mencadangkan cara mengatasi banjir kilat selain menyediakan anggaran kos bagi membina atau mendalamkan sungai dan membesarkan sistem perparitan sedia ada.

"Langkah utama mengatasi banjir adalah dengan mempunyai dasar, perancangan dan pelan tindakan mengurangkan risiko banjir yang mantap. Pelan ini perlu diintegrasi dengan pelan pembangunan sosial dan ekonomi supaya dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan," katanya.

Dalam pada itu Bung Moktar turut menekankan kepentingan kesedaran masyarakat dalam memelihara alam semulajadi melalui interaksi lestari dalam segala aspek kehidupan sebagai pendekatan utama mencegah kejadian banjir dan tanah runtuh.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools