Gali Terowong Dengan Sudu, Piring Dan Pemegang Cerek



Ramallah: Tahanan Palestin yang meloloskan diri dari penjara sekuriti tinggi di Israel, pada bulan ini, dilaporkan mula menggali terowong, sejak Disember tahun lalu.

Perkara itu didedahkan peguam kepada dua daripada tahanan yang ditahan semula oleh pasukan keselamatan Israel.

Pada kejadian 6 September lalu, enam tahanan Palestin melarikan diri dari Penjara Gilboa di utara Israel selepas menggali terowong di bawah singki di sel dihuni mereka.

Susulan kejadian, rejim Israel melancarkan gerakan besar-besaran sebelum menahan semula empat daripada tahanan berkenaan.

Peguam kepada dua tahanan yang ditahan semula itu iaitu Mahmud Abdullah Ardah dan Yaqub Qadri pada Rabu mendedahkan butiran kejadian berkenaan.

"Mahmud memberitahu saya, dia mula menggali (terowong) pada Disember lalu," kata peguamnya, Roslan Mahajana kepada AFP selepas mengunjunginya ketika dalam tahanan.

Mahmud yang mendakwa bertindak sebagai arkitek pelan itu berkata, dia menggunakan sudu, piring dan pemegang cerek untuk menggali terowong berkenaan

"Mereka mula menyoalnya selepas ditahan kerana percaya dialah yang merancang dan melaksanakan operasi," kata peguam Mahmud.

Peguam Yaqub memberi penjelasan sama mengenai kejadian itu.

"Yaqub memberitahu saya, proses itu bermula 14 Disember lalu, dan itulah yang dia beritahu penyiasat Israel," kata Hanane Khatib.

Dalam wawancara bersama stesen televisyen Palestin, peguam itu berkata, anak guamnya 'sangat gembira walaupun ditahan kerana dia dapat berkeliaran selama lima hari' hingga penahanannya.

Katanya, tahanan tidak merancang untuk melarikan diri 6 September lalu, tetapi meneruskannya pada hari itu kerana bimbang pengawal mula curiga dan melihat perubahan di dalam sel mereka.





Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Go to www.addthis.com/dashboard to customize your tools